Dec 22, 2009

Hammock Roboh


Misi Platun A (Platun Merah)company alfa, menduduki pangkalan dan melaksanakan rondaan agresif untuk mencari dan memusnahkan musuh di sektor dalam jangka masa sehari untuk membantu company alfa mencari dan memusnahkan musuh di kawasan Hutan Belum.

Rondaan agresif mencari dan memusnahkan musuh serta semua sistem perhubungan dan tempat menyimpan makanan. Platun perlu melalui tiga fasa persiapan iaitu kemasukkan, pelaksanaan gerakan dan penarikan keluar.

Ini adalah perintah yang diterima Platun Merah daripada pegawai platun, Leftenan Fauzan Md. Sabri, 20 sebelum menuju ke Hutan Simpan Royal Belum, Tasik Banding, keesokannya.

”Platun Merah, esok kita akan bergerak ke Kem Grik, pastikan anda berkumpul pada jam 7.30 pagi, jangan lambat!,” Ketua Platun Merah saudara Shah dari majalah Perajurit mengeluarkan arahan.

Ini merupakan satu-satunya pengalaman seumur hidup yang tidak akan aku lupakan. Mengikuti program 2749 Minit Menghayati Suasana Operasi Di Dalam Hutan bersama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) merupakan saat yang aku nantikan untuk memasuki Royal Belum secara halal.

Segala-galanya bermula di Kem Grik apabila platun mula menaiki trak tiga tan menuju ke Kem 479 Banding. Ketika berada dalam trak aku rasa seperti berada dalam filem Prebet Lapok yang dibintangi oleh A. R. Badul.

Kenderaan kami diiringi dua buah kereta perisai dan ketika itu aku rasakan seperti ingin bertempur. Tugas kereta perisai berkenaan bertujuan memastikan jalan yang bakal dilalui oleh trak kami selamat dari serangan musuh.

Mengikut prosedur, kereta perisai ini akan jalan terlebih dahulu sebelum trak yang membawa anggota atau bekalan makanan melaluinya. Sekiranya berlaku ancaman musuh dan halangan kereta perisai ini terlebih dahulu akan bertempur.

Aku ditempatkan dalam Platun Merah. Lima trak digunakan bagi membawa wakil media ke Kem Banding. Turun sahaja daripada trak, kami menerima arahan agar bergerak ke jeti untuk memulakan perjalanan ke Royal Belum.

Kesemua platun menaiki bot tempur yang disediakan, perjalanan selama tiga jam membuatkan aku tidak senang duduk. Beberapa kali antara kami terjaga dari tidur namun masih tidak tiba.

Malahan, kami kurang bernasib baik kerana enjin bot mengalami kerosakkan. Tidak berapa lama, sebuah bot menghampiri membantu memindahkan barang dan beberapa orang platun.

Aku mula merasai bagaimana keperitan dan kesusahan perajurit dahulu menentang komunis selama tempoh 41 tahun (1948-1989) memerangi dan menewaskan Parti Komunis Malaya (PKM).

Platun Merah agak bertuah kerana mempunyai ketua platun yang tegas dan kami dilayan seperti tentera sebenar. Masih terngiang lagi suara ketua platun setiap kali memberi arahan dalam memastikan agar kami menepati masa, ”Merah, pantas, lima minit!.”

Sehinggakan ada di antara platun yang berbisik, ”Aku sudah fobia dengar perkataan merah dan lima minit.” Aku sendiri menjadi fobia dan tertekan apabila terdengar saja jeritan Merah tidak tentu arah dibuatnya.

Mahu atau tidak kami telahpun menyahut cabaran dan sahutan perlu diteruskan.
Setibanya di Kem Pangkalan Royal Belum, kami terus masuk ke dalam hutan melaksanakan operasi dalam peperangan melawan insurgensi dengan membina pangkalan dan bermalam.



Setiap platun mula mengangkat kayu untuk membina hammock masing-masing. Aku bersama rakan sekerja Connie (kebetulan berada dalam kumpulan yang sama) mula mengangkat satu-persatu kayu.

Penat mendaki bukit masih belum hilang dan kini aku terpaksa mendirikan hammock. Perut sudah berkeroncong jam sudah menunjukkan jam 3 petang. Kira-kira sejam jugakla untuk kami mendirikan Hammock masing-masing.

Pegawai Platun Merah, Leftenan Fauzan meninjau Hammock kami dan tergelak kecil melihat hammock berkenaan, ”Hammock korang ini tidak kukuh, silap-silap boleh jatuh,”katanya.

Dengan selambe aku menjawab,“hah, takpela tuan kitaorg dh test, ok jer takde apa2, harap2 malam nie tak robohla.“

Jika dilihat kepada bentuk fizikal hammock kami tidaklah seteguh dan sekemas yang didirikan oleh anggota tentera sebenar. Hammock yang dibina oleh kami sedikit melendut dan tiang kayu sedikit condong.

Namun, malam itu kami terdengar bunyi jatuh, gedebuk! dan terdengar, ” Kenapa kau tak ikat kuat-kuat hammock tu.” Ternyata malam itu bukan hammock kami yang roboh. Pagi keesokannya kami bertanya kepada anggota platun yang lain, rupa-rupanya Hammock Uncle Sager dari NSTP yang roboh.

Uncle Sager dari Platun Merah dan jiran khemah aku, patutlah dengan jelas boleh dengar dia terjatuh.

Berdekah-dekah Platun Merah ketawa. Bila difikirkan kembali memang lawak, nampaknya kami memang tidak sesuai untuk menjadi tentera. Pengalaman selama tiga hari bersama wakil media yang lain memang berharga.

Kami diberi pendedahan cara-cara survival dalam hutan, mengesan musuh menggunakan anjing pengesan, kehidupan tentera ketika beroperasi dalam hutan dan demonstrasi menyelamatkan tebusan oleh ATM.

Ucapan syabas juga buat Platun Merah kerana dinobatkan sebagai platun terbaik walaupun hakikatnya kami terseksa dan dihantui dengan jeritan ketua platun. Sehinggakan ada antara kami yang fobia setiap kali terdengar perkataan merah dan lima minit.

Dec 1, 2009

Datang dan pergi

Perasaan itu datang,
Pabila ia datang aku mula rasakan bahagia
Pagiku disambut dengan senyuman
Jantungku mengalunkan lagu indah

Perasaan itu datang lagi,
Jantungku denyutkan namamu,
Bunga-bunga cinta mulai mekar
Sungguh misteri perasaan ini

Tapi kini perasaan itu pergi,
Rasa itu sendiri sukar dimengertikan
Hati itu terus membeku
Sekali lagi ia menyerah....

Sekali lagi perasaan itu datang dan pergi ditutupi awan-awan pasrah....