Mar 31, 2009

Mar 30, 2009

Bisikku Pada Bulan

Bulan
Aku mohon padamu
Sekiranya kau tahu dimana dia berada
Bisikkan padanya
Aku setia menanti di sini

Bulan
Kumerayu padamu
Seandainya kau melihat dia kini
Sampaikan padanya hatiku menangis

Bulan
Katakan padanya
Tanpa dia disisiku
Malap menyelubungi jiwaku

Bulan
Jika dia tidak mendengar
Jangan biar siang
Biar alam ini gelap gulita
Biar ia sepi sepertiku

Mar 27, 2009

Penjelajahan Dunia Dalam Satu Kilometer


Jika disebut nama Syed Mohd Syed Hashim mungkin ramai tertanya-tanya siapakah gerangan empunya diri tersebut. Tetapi sekiranya nama S. Amin Shahab disebut secara spontan akan terlintas di minda anda lagu seperti Kekasih Awal dan Akhir, Teratai Layu di Tasik Madu dan Suci Dalam Debu.

Nama S. Amin Shahab sudah serasi dengan gelaran sebagai komposer, pengarah filem dan pelukis. Anak kelahiran Batu Pahat ini mendapat bakat melukis dari bapanya.

Kini, beliau dalam usaha menjayakan pameran solonya bertajuk ‘Penjelajahan Dunia Dalam Satu Kilometer’. Dengan hanya menggunakan pen berdakwat hitam, ternyata pengembaraan beliau ke seluruh dunia telah menampakkan hasil dalam menyiapkan satu kilometer lakaran kanvas.

Bertemakan ‘one man.one mission.one stretch of kanvas.one kilometer’ perjalanan lukisan di atas kain kanvas itu menceritakan catatan tentang pengembaraan menjengah kesan-kesan ketamadunan manusia.

Selain melakar ketamadunan mengenai manusia, S. Amin turut melakar potret rakyat tempatan, tokoh-tokoh politik, sultan yang melambangkan jati diri negara. Bagi S. Amin lakaran potret ‘Seribu Wajah’berkenaan bukan sekadar lakaran wajah sahaja tetapi ianya memberi makna bahawa wajah manusia di dunia ini sama dan satu darah.

Setakat ini, beliau telah menggunakan kira-kira 2000 batang Artline hitam untuk melukis di atas kain kanvasnya. S. Amin berharap beliau dapat menyiapkan lakaran satu kilometernya itu dalam tahun ini yang telah dimulakan lima tahun lalu.

Peminat seni lukisan bolehlah datang ke Galeri 2, Shah Alam mengunjungi pameran S. Amin sehingga 30 Mac ini. Selain itu, S. Amin turut akan melukis potret secara percuma bagi menjayakan program beliau.


p/s- thanks ya aie akaike, tolong mengabadikan gambar S.Amin menggunakan kameramu...(",)

Mar 26, 2009

Sayangku Amar


Aku masih ingat lagi ketika mula-mula menjejakan kaki ke Sinar Salam, tahun lalu. Aku disambut mesra oleh Kak Afidah bersama pekerjanya. Namun, hatiku terpaut apabila melihat seorang bayi lelaki yang sedang terbaring lena di atas pangkuan seorang pekerja Kak Afidah .

Matanya yang bulat membuatkan setiap mata yang memandang akan cair. Kucuba mendekati Amar, tetapi satu kenyataan membuatkan jantungku luluh pabila mengetahui bayi yang ku renung itu menghidapi HIV. Layakkah bayi yang dilahirkan sesuci kain putih ini dijangkiti HIV.

Bayi yang tidak berdosa itu bernama Amar. Ibunya seorang penagih dan pelacur di lorong Chow Kit. Tidak perlu dipanjangkan cerita mengenai kisah hitam ibunya. Petang semalam, aku berkesempatan mengunjungi rumah Sinar Salam.

Perkataan pertama yang keluar dari mulutku, ”di manakah Amar?”

”Amar Kak Yati bawa pergi HKL, dapatkan rawatan dan check kesihatan,”pantas Kak Fidah menjawab.

Hampir setengah jam berada di Sinar Salam, tiba-tiba aku dikejutkan dengan suara Kak Yati. Kemudianku melihat sepasang mata bulat yang masih segar dalam kotak ingatanku.

Tidak salah lagi bayi yang ku lihat itu adalah Amar. Sungguh comel dan bertambah sihat. Langsungku lupa bayi yang sihat itu memiliki HIV.

Mar 16, 2009

Rukmini Yusuf Affandi

Lahir daripada keluarga seni merupakan satu kelebihan buat ibu rukmini mewarisi bakat melukis daripada bapanya. siapa sangka putri kepada pelukis besar Affandi dari isteri keduanya Rubiyem. Sejak kecil lagi beliau begitu senang melukis dan mendapat bimbingan daripada bapanya serta melukis bersama Affandi.

Sebelum bapak Affandi meninggal dunia, dia sendiri telah menyarankan supaya anaknya belajar melukis daripada pelukis senior di bandung iaitu Barli Sasmitawinata,buat beberapa tahun.

Kesempatan melihat Ibu Rukmini mengadakan demo melukisnya di pameran "Exotic Indonesia in Colours", tidak dilepaskan. Dengan hanya menggunakan goresan jari-jemari ke atas kain kanvas, tidak sampai 30 minit sebuah lukisan KLCC dapat disiapkan.






aku dan ibu Rukmini

Mar 14, 2009

Bingkisan 'Exotic Indonesia In Colours'


Kartini Sabekti- Praying

Rukmini Yusuf Affandi- Harvest Rice in Ciami
(Bapa Yusuf Affandi merupakan pelukis yang tersohor di Indonesia dan ibu Rukmini mewarisi bakat daripada bapanya.)

J. Mariam- Kebudayaan & Keseniaan di Indonesia.

Sri Robustina Hj- Flower Wirid
(Cuba perhatikan tulisan yang terdapat dalam lukisan tersebut.)

p/s- Pameran Lukisan dari Ikatan Wanita Pelukis Indonesia diadakan di Soka Gakkai Malaysia bermula 13-17 Mac ini.

Mar 11, 2009

aku di talentime



Semalam, aku berkesempatan menonton filem arahan yasmin ahmad bertajuk talentime di Dewan Seri Budiman, UiTM. Kampus yang sudah dua tahunku tinggalkan.

Filem talentime akan ditayang di pawagam pada 26 Mac ini. Filem kali ini tidak banyak menonjolkan perbezaan seperti filem-filem arahan Yasmin yang lain, iaitu memaparkan kisah hubungan cinta tanpa mengira kaum, agama atau latar belakang budaya, di samping selitan pertandingan bakat di sekolah menengah tersebut.

Bagi peminat Yasmin, jalan cerita seolah-olah boleh diagak penonton sendiri, namun jalan cerita filem ini diselitkan dengan jenaka dari segi dialog dan mimik pelakon. Cukup menghiburkan.

Talentime ini mengisahkan pertandingan mencari bakat yang mempertemukan Melur dan Mahesh. Mahesh seorang pekak dan bisu. Semuanya bermula apabila Mahesh, ditugaskan menjemput finalis ke sekolah bagi menjalani latihan, menghantar surat pemberitahuan lulus ujibakat ke rumah Melur.

Pada mulanya Melur tidak mengetahui kekurangan Mahesh dan Mahesh begitu menyenangi Melur yang sering mengungkapkan puisi indah. Namun berlaku konflik di saat-saat akhir filem berkenaan. Ingin tahu? Sila tonton filem ini.......

Filem ini dibintangi Pamela Chong (Melur), Mahesh Jugal Kishor (Mahesh), Mohammad Syafie Naswip (Hafiz), Jaclyn Victor (Bhavani), kakak (Mahesh), Howard Hon Ka Hoe (Kahoe), Harith Iskander (ayah Melur), Mislina Mustaffa ( ibu Melur), Adibah Noor (Cikgu Adibah), Azean Irdawaty (Embun, ibu Hafiz), Elza Irdalyna Khairil Anwar (Mawar), Jit Murad (Ismael).

p/s- ku jatuh cinta dengan runut bunyi filem ini