Nov 16, 2009

Tersungkur

Tik…tok…tik..tok…bunyi jam berdenting membingitkan telinga…makhluk itu duduk bersendirian…pelbagai bunyi bisa didengar dalam suasana bilik yang sunyi sepi itu

Makhluk itu duduk merapatkan kedua kakinya ke badan. Sambil bersandarkan badan ke dinding, kepalanya tunduk menyembah lantai tanpa disedari titisan air mata perlahan-lahan jatuh.

Tidak tertahan rasanya kesakitan yang ditanggung. Ibarat beratus-ratus manusia kerdil mencucuk-cucuk jarum di bahagian kepalanya.

Apakah sudah tiba saatnya dia pergi, apakah Malaikat Maut sudah bersedia mencabut nyawanya pada jam 12 tengah malam itu. Makhluk itu seakan ingin menjerit, tetapi kesakitan yang dialami mengatasi segalanya.

Apa yang mampu dilakukan hanyalah, menangis dan terus menangis. Selama ini, makhluk itu hanya menyimpan kesakitan yang dialami tanpa seorangpun mengetahuinya.

Adakah maut semakin menghampiri? Adakah di usia muda sebegini, tuhan telah menentukan jasadnya pergi meninggalkan dunia.

”Aku sudah tidak sanggup lagi menahan, Ya Tuhanku, kau ambil saja nyawaku. Aku sudah tidak mempunyai apa-apa lagi di dunia ini.

“Yang ada cuma masalah satu per satu....ambil saja nyawa ini,” jerit batinnya.

Mata makhluk itu mulai kemerahan dan membengkak dalam tangisan. Selama ini dia mengasingkan diri daripada rakan-rakannya yang boleh dianggap rapat dengannya....

Kini dia tersungkur seperti biasa menanggung kesakitan seorang diri.......