Digital clock

Jan 29, 2010

Gegeran Suara Penulis Bebas

Seni bergerak atas perspektif genre sastera sebagai produk budaya yang bersifat kreatif dan imajinatif serta menghiburkan dan bermanfaat kepada masyarakat.

Suara selepas Angkatan Sasterawan 50 (ASAS 50) masih mengetengahkan elemen yang sama dan sesekali menjentik elemen Islam. Namun, suara-suara penulis muda ini datang dan pergi tanpa disambut dan dipayungi dengan jari-jemari dan fikiran yang jernih mengetik.

Sudah lama tidak kedengaran gegeran suara-suara penulis muda yang garang, gelisah dan resah. Tetapi, mungkin ramai tidak menyedari kewujudan penulis-penulis bebas yang terdiri daripada golongan muda.

Keberadaan golongan marhaein ini tidak dipandang dan siapa tahu mereka ini sebenarnya mempunyai peluang menggantikan penulis-penulis lama dan Sasterawan Negara yang menuju senja.

Penulis-penulis bebas ini, terus menulis dan dalam penulisan mereka tercermin luahan suara hati yang jujur dan fikiran yang jernih serta pengolahan subjek yang diangkat, namun mereka ini tidak dikenali kerana bukan berada di landasan arus perdana.

Dahulu, sasterawan adalah propagandis zamannya kerana di tangan mereka terakam impian, cita-cita, hasrat dan perjuangan masyarakat ketika itu.

Sebagai contoh, zaman Ishak Mohamad melalui Putera Gunung Tahan dan Anak Mat Lela Gila tergambar pemikiran beliau tentang nasib bangsa, kerenah penjajah serta perjuangan memartabatkan bangsanya.

Bagaimanapun, aliran pemikiran penulis bebas kini berbeza dan ekspresi penulisan mereka berputar daripada kisah politik, isu semasa, pemberontakan sehinggalah kepada bentuk sinikal.

Melalui medium alternatif seperti Pekan Frinjan, Sindiket Soljah dan Sang Freud Press dapat melihat gejolak baru anak-anak muda yang memiliki gejolak dalam menorehkan fokus di luar dimensi pada karya-karya mereka.

Bagi pengkarya muda, Wahyudi Mohd Yunus, 21, dalam berkarya dirinya tidak pernah meletakkan apa-apa batu penunjuk atau subjek kerana tidak mahu terikat serta menumpukan kepada satu isu sahaja.

“Ianya lebih berbentuk beragam dan saya menyifatkan sastera dan seni itu sudah menjadi eskapisme kerana ketika tertekan membuat ‘programming’, saya berkarya.

“Hasil karya sastera yang dicipta dengan tekanan jiwa pengarangnya sebenarnya memiliki nilai keindahan,” jelasnya yang mengikuti jurusan elektrik di sebuah universiti tempatan.

Anak muda yang membesar di Sulawesi ini menganggap seni ini sudah sebati dalam jiwanya. Hal ini kerana budaya kepulauan itu sendiri yang menganggap budaya dan sastera bukanlah satu perkara asing dalam jiwa golongan remaja.

Namun, di Malaysia sastera dan budaya tempatan bagaikan menjauhkan diri. Seni itu sendiri dianggap medium berbeza seakan tidak boleh bergabung dengan medium yang lain.

“Dalam seni itu sebenarnya perlu ada perlawanan polemik, sekiranya tiada topik perbincangan akan tersimpul di situ sahaja dan mati.

“Percambahan idea perlu ada kerana ianya milik bersama menerusi proses asimilasi, maka akan berlaku aliran pemikiran sekiranya pendapat orang kerdil seperti kami diterima seterusnya sesuatu kritikan dan perbicaraan tidak mati di situ sahaja,” katanya.

Manakala Zahfir Zakaria, 24, berkata dalam bidang penulisan sebagai penulis dirinya tidak cuba terlalu terikut dengan aliran kerana sejujurnya insan itu perlu meneroka secara sendiri.

“Penerokaan secara meluas dan kajian perlu dilakukan. Seperti diketahui polemik berlaku dalam lingkungan orang agama sehinggalah bidang sastera.

”Penulis muda seperti kami ini, mahu atau tidak berpegang sesama sendiri dan kadang-kala terikat dengan unsur-unsur taboo,” ujarnya sambil menyatakan penulisannya menjurus ke arah cerpen.

Baginya, perbezaan pendapat sebenarnya tidak mengundang masalah akan tetapi sama ada kelainan itu diterima atau tidak yang menjadi persoalan. Ini kerana perbezaan pendapat dan polemik ini dapat menyemarakkan perkembangan dunia penulisan.

Jelasnya, seseorang itu tidak boleh sentiasa berada dalam zon selamat sekiranya ingin maju dalam medium ini.

”Sekiranya menulis, individu itu tidak seharusnya berada dalam zon selesa, harus meneroka ke tempat lain dan bagi golongan muda ini dan picisan perlu menyatakan keberadaannya,” katanya.

Sastera bukan saja senjata perjuangan sebaliknya merupakan kaedah bagaimana sesuatu bangsa itu melimpahkan perkara yang terletak di benaknya melalui tulisan. Namun, medium ini perlu dilihat dan ditelusuri secara positif dan penuh dengan keterbukaan sikap dengan memberi peluang kepada golongan penulis muda.

Sebagaimana pejuang-pejuang bahasa dan kesusasteraan sebelum ini yang memperjuangkan keyakinan diri dan tenaga fikir dalam usaha memartabatkan maruah kesusasteraan Melayu.

Siapa sangka mereka ini bakal menggantikan dan mendapat jolokan nama hasil penulisan bebas dan jujur mereka seiring seperti nama Allahyarham Sasterawan Negara Usman Awang (Tongkat Warran), Sasterawan Negara Kamaluddin Muhammad (Keris Mas), Ishak Hj. Mohamad (Pak Sako), Ahmad Boestaman, Kadir Adabi, Ahmad Kotot, J.M.Aziz dan lainnya.

NIDJI MEMUKAU


Ternyata kunjungan Nidji bagi mempromosikan album ketiga Let's Play masih lagi berbisa dengan keunikkan nuasa muzik pop alternatif mereka.

Band muzik dari Jakarta yang dianggotai lima anak muda ini membuktikan mereka mempunyai kuasa luar biasa untuk menarik kira-kira 500 peminat turut serta menari dan menikmati muzik mereka ketika mengadakan Showcase Nidji di Dragonfly.

Nidji bermaksud Pelangi dalam bahasa Jepun berjaya menghangatkan suasana 'dance floor' dengan persembahan mantap , hebat dan bertenaga menerusi rangkaian lagu hits dan popular mereka dari ketiga-tiga buah album.

Kemunculan Giring Ganesha disambut dengan teriakan apabila band berkenaan memulakan persembahan dengan lagu Biarlah. Pentas semakin hangat apabila Nidji meneruskan persembahan melalui lagu tema Heroes iaitu Shadows.

Giring turut menyatakan malam itu merupakan malam terbaik buat mereka dan begitu merindukan Malaysia. Giring yang mencetuskan kontroversi apabila berpacaran dengan janda beranak satu, Cynthia turut memberitahu album terbaru itu penuh dengan rasa jatuh cinta.

Dengan perasaan yang dilamun cinta, sambil tersenyum Giring mengatakan album berkenaan digarap ketika personal Nidji yang sedang jatuh cinta dan ianya memakan masa lebih lama untuk disiapkan dari album sebelumnya.

Sebelum menyanyikan lagu single pertama, Sang Mantan Giring berpesan kepada peminatnya dengan disambut sorakan,

"Kepada mereka yang pernah disakiti mantan kekasih, tidak perlu membalas kepada mereka. Kamu hanya download lagu Sang Mantan dan berikan dia mendengarnya apabila menelefon kamu.”

Ketika menyanyikan lagu tema filem Laskar Pelangi, Giring meminta peminatnya menghayungkan tangan ke atas yang merupakan 'trademark' setiap kali lagu Laskar Cinta dinyanyikan.

Nidji berjaya mengimbangkan persembahan yang konsisten sepanjang konsert dengan menerokai ruang kreativiti yang tiada batasan dalam muzik mereka diiringi dengan pelbagai gerakan unik serta bertenaga ketika melakukan persembahan.

Hasil persembahan mereka sama seperti yang didengar di dalam cakera padat tetapi ketika persembahan mereka telah menampilkan improvisasi. Suasana diwarnakan dengan stail personaliti setiap anggota band muzik melalui penampilan funky dengan imej seluar jeans skinny.

Malahan anak-anak muda itu turut memakai jaket yang dihiasai dengan corak batik yang memiliki kebanggan dengan identiti nasional mereka.
Persembahan malam itu lebih hidup dengan kemahiran Giring berkomunikasi dengan peminat dan rata-rata dari mereka melonjak dan turut menyanyikan bersama setiap lagu yang dinyanyikan.

Ketika mereka ingin mengundurkan diri, peminat nyata masih tidak puas dengan persembahan yang diberikan dan melaungkan 'We want more' ke arah pentas. Tidak menghampakan peminat, Nidji mengambil semula alat muzik mereka dan menyanyikan lagu 'Heaven' sebagai penutup.

Jan 4, 2010

Aku mahu kamu! ‘Pelangiku!’

Sejak mataku dan matamu mula bertemu seakan arus elektrik mengalir dalam pembuluh darahku. Aku menjadi malu dan tingkah laku serba tidak kena tika bersama kamu, Pelangiku. Pelangi….gelaran buat kamu dariku.

Mengapa Pelangi, kerana kamu ibarat warna-warna Pelangi yang mewarnai hidupku. Kamu menyebarkan rasa-rasa gembira, bias-bias ingin bercinta saat aku mengenali kamu.

Sejak mata kita mula terpanah, aku begitu menginginkan kamu. Dari jauh aku tersenyum, hatiku memekarkan bunga-bunga cinta, jantungku mengalunkan lagu merdu.

Aku sendiri tidak dapat memadamkan rasa ini sejauhnya. Sesungguhnya tiadaku duga akan terjatuh cinta. Pelangi membuatku rasa gusar menjadi tenang, duka merubah suka dan benci menjadi sayang. Jika aku berasa sunyi, akanku angankan Pelangi, akanku mimpikan Pelangi dalam dunia khalayanku.

Aku berusaha mendekatimu di dunia nyata. Namun, tidak berdaya, alangkah bagus sekiranya aku adalah Avatar. Menerobos ke duniamu, agar Pelangi menyedari awan-awan kecil ini merenungmu dari jauh.

Tapi semuanya terhalang, kerna Pelangi dan aku ibarat langit dan bumi. Aku tidak punya pesona seperti Pelangi dan keberadaanku di majlis sering tidak disedari bukan sepertimu.

Aku umpama orang kecil tidak punya keyakinan dan rasa rendah diri, tapi aku mahu kamu, Pelangiku!