Jan 29, 2010

NIDJI MEMUKAU


Ternyata kunjungan Nidji bagi mempromosikan album ketiga Let's Play masih lagi berbisa dengan keunikkan nuasa muzik pop alternatif mereka.

Band muzik dari Jakarta yang dianggotai lima anak muda ini membuktikan mereka mempunyai kuasa luar biasa untuk menarik kira-kira 500 peminat turut serta menari dan menikmati muzik mereka ketika mengadakan Showcase Nidji di Dragonfly.

Nidji bermaksud Pelangi dalam bahasa Jepun berjaya menghangatkan suasana 'dance floor' dengan persembahan mantap , hebat dan bertenaga menerusi rangkaian lagu hits dan popular mereka dari ketiga-tiga buah album.

Kemunculan Giring Ganesha disambut dengan teriakan apabila band berkenaan memulakan persembahan dengan lagu Biarlah. Pentas semakin hangat apabila Nidji meneruskan persembahan melalui lagu tema Heroes iaitu Shadows.

Giring turut menyatakan malam itu merupakan malam terbaik buat mereka dan begitu merindukan Malaysia. Giring yang mencetuskan kontroversi apabila berpacaran dengan janda beranak satu, Cynthia turut memberitahu album terbaru itu penuh dengan rasa jatuh cinta.

Dengan perasaan yang dilamun cinta, sambil tersenyum Giring mengatakan album berkenaan digarap ketika personal Nidji yang sedang jatuh cinta dan ianya memakan masa lebih lama untuk disiapkan dari album sebelumnya.

Sebelum menyanyikan lagu single pertama, Sang Mantan Giring berpesan kepada peminatnya dengan disambut sorakan,

"Kepada mereka yang pernah disakiti mantan kekasih, tidak perlu membalas kepada mereka. Kamu hanya download lagu Sang Mantan dan berikan dia mendengarnya apabila menelefon kamu.”

Ketika menyanyikan lagu tema filem Laskar Pelangi, Giring meminta peminatnya menghayungkan tangan ke atas yang merupakan 'trademark' setiap kali lagu Laskar Cinta dinyanyikan.

Nidji berjaya mengimbangkan persembahan yang konsisten sepanjang konsert dengan menerokai ruang kreativiti yang tiada batasan dalam muzik mereka diiringi dengan pelbagai gerakan unik serta bertenaga ketika melakukan persembahan.

Hasil persembahan mereka sama seperti yang didengar di dalam cakera padat tetapi ketika persembahan mereka telah menampilkan improvisasi. Suasana diwarnakan dengan stail personaliti setiap anggota band muzik melalui penampilan funky dengan imej seluar jeans skinny.

Malahan anak-anak muda itu turut memakai jaket yang dihiasai dengan corak batik yang memiliki kebanggan dengan identiti nasional mereka.
Persembahan malam itu lebih hidup dengan kemahiran Giring berkomunikasi dengan peminat dan rata-rata dari mereka melonjak dan turut menyanyikan bersama setiap lagu yang dinyanyikan.

Ketika mereka ingin mengundurkan diri, peminat nyata masih tidak puas dengan persembahan yang diberikan dan melaungkan 'We want more' ke arah pentas. Tidak menghampakan peminat, Nidji mengambil semula alat muzik mereka dan menyanyikan lagu 'Heaven' sebagai penutup.

No comments:

Post a Comment