Jan 29, 2010

Gegeran Suara Penulis Bebas

Seni bergerak atas perspektif genre sastera sebagai produk budaya yang bersifat kreatif dan imajinatif serta menghiburkan dan bermanfaat kepada masyarakat.

Suara selepas Angkatan Sasterawan 50 (ASAS 50) masih mengetengahkan elemen yang sama dan sesekali menjentik elemen Islam. Namun, suara-suara penulis muda ini datang dan pergi tanpa disambut dan dipayungi dengan jari-jemari dan fikiran yang jernih mengetik.

Sudah lama tidak kedengaran gegeran suara-suara penulis muda yang garang, gelisah dan resah. Tetapi, mungkin ramai tidak menyedari kewujudan penulis-penulis bebas yang terdiri daripada golongan muda.

Keberadaan golongan marhaein ini tidak dipandang dan siapa tahu mereka ini sebenarnya mempunyai peluang menggantikan penulis-penulis lama dan Sasterawan Negara yang menuju senja.

Penulis-penulis bebas ini, terus menulis dan dalam penulisan mereka tercermin luahan suara hati yang jujur dan fikiran yang jernih serta pengolahan subjek yang diangkat, namun mereka ini tidak dikenali kerana bukan berada di landasan arus perdana.

Dahulu, sasterawan adalah propagandis zamannya kerana di tangan mereka terakam impian, cita-cita, hasrat dan perjuangan masyarakat ketika itu.

Sebagai contoh, zaman Ishak Mohamad melalui Putera Gunung Tahan dan Anak Mat Lela Gila tergambar pemikiran beliau tentang nasib bangsa, kerenah penjajah serta perjuangan memartabatkan bangsanya.

Bagaimanapun, aliran pemikiran penulis bebas kini berbeza dan ekspresi penulisan mereka berputar daripada kisah politik, isu semasa, pemberontakan sehinggalah kepada bentuk sinikal.

Melalui medium alternatif seperti Pekan Frinjan, Sindiket Soljah dan Sang Freud Press dapat melihat gejolak baru anak-anak muda yang memiliki gejolak dalam menorehkan fokus di luar dimensi pada karya-karya mereka.

Bagi pengkarya muda, Wahyudi Mohd Yunus, 21, dalam berkarya dirinya tidak pernah meletakkan apa-apa batu penunjuk atau subjek kerana tidak mahu terikat serta menumpukan kepada satu isu sahaja.

“Ianya lebih berbentuk beragam dan saya menyifatkan sastera dan seni itu sudah menjadi eskapisme kerana ketika tertekan membuat ‘programming’, saya berkarya.

“Hasil karya sastera yang dicipta dengan tekanan jiwa pengarangnya sebenarnya memiliki nilai keindahan,” jelasnya yang mengikuti jurusan elektrik di sebuah universiti tempatan.

Anak muda yang membesar di Sulawesi ini menganggap seni ini sudah sebati dalam jiwanya. Hal ini kerana budaya kepulauan itu sendiri yang menganggap budaya dan sastera bukanlah satu perkara asing dalam jiwa golongan remaja.

Namun, di Malaysia sastera dan budaya tempatan bagaikan menjauhkan diri. Seni itu sendiri dianggap medium berbeza seakan tidak boleh bergabung dengan medium yang lain.

“Dalam seni itu sebenarnya perlu ada perlawanan polemik, sekiranya tiada topik perbincangan akan tersimpul di situ sahaja dan mati.

“Percambahan idea perlu ada kerana ianya milik bersama menerusi proses asimilasi, maka akan berlaku aliran pemikiran sekiranya pendapat orang kerdil seperti kami diterima seterusnya sesuatu kritikan dan perbicaraan tidak mati di situ sahaja,” katanya.

Manakala Zahfir Zakaria, 24, berkata dalam bidang penulisan sebagai penulis dirinya tidak cuba terlalu terikut dengan aliran kerana sejujurnya insan itu perlu meneroka secara sendiri.

“Penerokaan secara meluas dan kajian perlu dilakukan. Seperti diketahui polemik berlaku dalam lingkungan orang agama sehinggalah bidang sastera.

”Penulis muda seperti kami ini, mahu atau tidak berpegang sesama sendiri dan kadang-kala terikat dengan unsur-unsur taboo,” ujarnya sambil menyatakan penulisannya menjurus ke arah cerpen.

Baginya, perbezaan pendapat sebenarnya tidak mengundang masalah akan tetapi sama ada kelainan itu diterima atau tidak yang menjadi persoalan. Ini kerana perbezaan pendapat dan polemik ini dapat menyemarakkan perkembangan dunia penulisan.

Jelasnya, seseorang itu tidak boleh sentiasa berada dalam zon selamat sekiranya ingin maju dalam medium ini.

”Sekiranya menulis, individu itu tidak seharusnya berada dalam zon selesa, harus meneroka ke tempat lain dan bagi golongan muda ini dan picisan perlu menyatakan keberadaannya,” katanya.

Sastera bukan saja senjata perjuangan sebaliknya merupakan kaedah bagaimana sesuatu bangsa itu melimpahkan perkara yang terletak di benaknya melalui tulisan. Namun, medium ini perlu dilihat dan ditelusuri secara positif dan penuh dengan keterbukaan sikap dengan memberi peluang kepada golongan penulis muda.

Sebagaimana pejuang-pejuang bahasa dan kesusasteraan sebelum ini yang memperjuangkan keyakinan diri dan tenaga fikir dalam usaha memartabatkan maruah kesusasteraan Melayu.

Siapa sangka mereka ini bakal menggantikan dan mendapat jolokan nama hasil penulisan bebas dan jujur mereka seiring seperti nama Allahyarham Sasterawan Negara Usman Awang (Tongkat Warran), Sasterawan Negara Kamaluddin Muhammad (Keris Mas), Ishak Hj. Mohamad (Pak Sako), Ahmad Boestaman, Kadir Adabi, Ahmad Kotot, J.M.Aziz dan lainnya.

No comments:

Post a Comment