Mar 9, 2009

Selamatkan Bumi - 'Blackout Day'


Apakah rancangan anda pada hujung minggu 28 Mac nanti? Jangan terkejut jika pada tarikh berkenaan secara tiba-tiba beberapa kawasan sekitar Lembah Kelang terputus bekalan elektrik serentak pada jam 8.30 malam.

Kejadian pada 28 Mac itu, bukan kerana Tenaga Nasional Berhad (TNB) ingin melakukan penambahbaikan dengan memutuskan bekalan elektrik tetapi pada tarikh tersebut beberapa kawasan sekitar Lembah Kelang yang mengambil bahagian akan memadamkan suis lampu sebagai simbolik kepada ’Earth Hour’ bagi menyampaikan mesej kepada dunia agar selamatkan bumi yang didiami dari pemanasan global.

Dalam usaha mengatasi masalah pemanasan global dan mengurangkan penggunaan elektrik, dana hidupan liar dunia (WWF) mengadakan kempen menggalakkan penyertaan rakyat Malaysia dan masyarakat dunia dalam misi menyokong program ’Earth Hour’ ini.

Sehubungan itu, Most Wanted Unit Event (MWU Event) menganjurkan ‘Blackout Nite 2009’ di Zazu Beach Bistro, Sunway pada tarikh berkenaan bagi menyokong kempen WWF menentang pemanasan global yang melanda planet bumi.

Buat kali pertamanya dalam sejarah, penghuni bumi dari pelbagai peringkat umur, warganegara, bangsa dan latar belakang mempunyai peluang menggunakan suis mereka sebagai saluran untuk menyampaikan mesej kepada dunia.

Dengan memadamkan suis merupakan satu undian rakyat kepada dunia dan juga pemanasan global yang sedang berlaku. Ini juga merupakan pilihan rakyat agar suara mereka didengari.

Selain Sunway beberapa mercu tanda sekitar Lembah Kelang dikatakan bersetuju untuk memadamkan lampu selama sejam menyertai 74 mercu tanda negara lain. Antara bangunan yang terlibat, Sunway Piramid, Menara Kuala Lumpur, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Bukit Bintang dan Mid Valley.

Pemain bola sepak negara Zainal Abidin dan Dollah Salleh akan turut serta pada malam tersebut sebagai tanda sokongan mereka. Kumpulan indie yang terlibat adalah Otam, Apai, Lightcraft, Ask Me Again, Dizzy and The Sakti, The Lova Lova dan Salam serta DJ Iglue (Hazeryl) dan DJ Wisekid.

Tema pada malam berkenaan adalah hitam dan tiket dijual pada harga RM75, boleh didapati di Zazu Beach Resort, Sunway atau menghubungi 017-6100254 (Izzy). Kepada mereka yang sayangkan bumi ini dan tiada perancangan dipelawa menyertai program ’Earth Hour’ pada 28 Mac ini bermula jam 8.30 malam. Bersama-sama kita pelihara bumi yang dihuni.

’Earth Hour’ bermula di Sydney pada 2007, apabila 2.2 juta rumah dan perniagaan memadamkan lampu mereka selama sejam. Pada 2008 mesej tersebut telah meningkat kepada pergerakan global secara berterusan, dengan 50 juta orang memadamkan lampu mereka. Mercu tanda dunia seperti Jambatan Pintu Emas di San Francisco, Colosium Rome, Rumah Opera Sydney dan papan iklan Coca Cola di Times Square turut serta memadamkan lampu selama sejam sebagai tanda sokongan.

No comments:

Post a Comment